Friday, November 13, 2009

0

Salam Kemaafan dan Terima Kasih

Tertarik saya kepada cara Ust Fadzli mengucapkan selamat dan kemaafan sempena aidilfitri di blognya. Saya mengambil format berkenaan sebelum memadamkan semua sms yang lama di pda saya kerana memorinya yang kian sempit.

Sekiranya kalian membaca blog ini, saya mohon maaf kerana tidak dapat membalas ucapan salam aidilfitri sahabat-sahabat tempoh hari. Saya sayangkan silaturrahim ini. Mengikut turutan paling awal-akhir.

1. Puan Adzrina KPM
2. Hasnan
3. Murni
4. Khairil Izuan
5. Izat
6. Shidi
7. Ameer Azeezy
8. Fazliy & Julia
9. Ust Shahir JPM
10. Mizi & Yong
11. Abg Azizi
12. Mazlan
13. Rashidah Utama
14. Hilmi
15. Jeganathan
16. Azizah Kg Gajah KPM
17. Firdaus KPM
18. Khusyairi KPM
19. Heri Botak
20. Aiman Wong KPM
21. Bob & Wawa
22. Hanif
23. Sanusi
24. Reza
25. Meaz
26. Nizam Sabda JPM
27. Nina Azahari
28. Fida Azahari
29. Mahisan Aswadi
30. Tuan Hilmi
31. Shahrul Efendi
32. Rapahel & Julin
33. Siti Khairiyah @ Baby KPM
34. Azreen @ Comel KPM
35. Hasmizan KPM
36. Yarpah
37. Wan Azlan
38. Halim & Ayu
39. Yassin
40. Che Hamdan
41. Usop
42. Hussin Ismail KPM
43. Nik Mohd Anuar
44. Hasanan
45. Khairul
46. Anoi
47. Yap & Jo
48. Nazri
49. Ejul
50. Azhar
51. Noni
52. Farhey & isteri
53. Syamsidar
54. En. Wan Ahmad Tarmizi
55. Redhuan
56. Azli
57. Yoges
58. Suresh
59. Kak Ayu @ Aizah
60. Azman Ariffin
61. Apit
62. Joelle & Money
63. Hasnizan
64. Wan Azura Farida
65. Chia & Lillen
66. Soleh
67. Razi
68. Anne
69. Helen
70. Syakir
71. Naemah
72. Shrom
73. 74. 75. Tidak diketahui siapa pengirimnya.

0

Buat Aku Tersenyum

Bersama pengacara Saudara Adi selepas rakaman

Pengalaman baru dalam hidup saya telah berlaku 29/10 yang lalu. Ianya masih membuatkan saya seperti tidak percaya dan tersenyum sendiri sesuai dengan tajuk posting ini. Rasanya baru sahaja saya menerima pelawaan itu (walaupun sebenarnya sudah dua bulan tertangguh kerana ramadhan dan syawal). Rakaman itu selesai dalam tempoh hampir tiga jam di Studio JAKIM di Putrajaya. Terima kasih saya buat Saudara Adi kerana sudi menjemput saya dan Puan Azi selaku penerbit rancangan kerana mempercayai kredibiliti saya.

Saya membuat beberapa kesimpulan selepas kenangan tersebut.

1. Had Kebolehan Adalah Di Luar Jangka
Saya merujuk kepada sikap pasif sesetengah kita iaitu TAKUT MENCUBA perkara baru. Apa yang berlaku dua, tiga tahun kebelakangan ini mengajar saya untuk BERANI MENCUBA perkara baru. Potensi saya diasak dengan keras sejak itu. Saya terpaksa bekerja keras, banyak bersabar dan hasilnya kebolehan bertahan saya meningkat. Sedangkan saya tidak pernah terfikir pun untuk melakukan apa yang saya lakukan sekarang.

Had kebolehan itu hanya ada dalam minda sempit orang yang tidak mahu ke mana-mana. Sedangkan Allah maha adil memberikan potensi yang ada untuk berbakti kembali kepadanya. Akhir rakaman episod ketiga Pembantu Penerbit ada menegur saya, "ust dah biasa buat rakaman ke?". Saya tersenyum simpul. Dalam hati saya berkata, "aku dah buat yang terbaik untuk jariah!".

2. Kebolehan Jariah Adalah Impian Yang Indah
Apabila memandang kamera saya niatkan senyum dan susun ayat saya untuk jariah lillah taala. Berjiwa besar untuk membantu lebih ramai orang adalah impian terindah saya. Saya percaya dijadikan oleh Allah untuk memberi manfaat kepada orang lain. Saya berniaga untuk membantu. Saya mengajar untuk membantu. Saya menulis juga untuk membantu. Pesan saya kepada anakanda hakim agar berjiwa besarlah, kerana dengan jiwa yang besar ada jariah yang besar. Saya mahu lebih menyumbang. Saya ada susun atur tertentu bagi mencapai tujuan tersebut. Moga Allah mempermudahkannya.

3. Maha Luasnya Rezeki dan Sempitnya Ego Manusia
Semasa melangkah ke 905 untuk pulang selepas tamat rakaman saya menyimpulkan bahawa maha luas rezeki Allah. Saya tidak sangka perkenalan saya dengan pengacara membuka rezeki saya ke bidang ini. Saya juga tidak sangka perkenalan saya selama tiga tahun dengan hamizi di Maahad Muar 15 tahun yang lepas membuka rezeki saya pada hari ini. Apa lagi rezeki yang saya sangka, nampak seperti Allah mahu memberitahu kepada saya, sentiasalah bersyukur dan panjangkanlah silaturrahim. Kerana padanya ada rezeki yang tersembunyi! Rugilah buat yang ego tidak bertempat, hasad dan sombong kerana tertutupnya seribu pintu rezeki buatnya!

Saya berpesan kepada puan penerbit agar memaklum kepada saya jika tiga episod rakaman Respon (6.05-6.30am, Jumaat) melibatkan saya tersebut ditayangkan di TV1. Terima kasih kepada semua yang terlibat.

Episod pertama : Memulakan Perubahan (Hijrah)
Episod kedua : Konsisten Berubah
Episod ketiga : Rahsia Hidup Lebih Bahagia & Sempurna

Buat aku tersenyum. ;)

Friday, November 6, 2009

0

Penjelasan Yang Sukar

Ini sebenarnya merujuk kepada kes Dr. Maza vs JAIS yang berlaku awal minggu ini. Ketahuilah penjelasan itu tidak semudah A, B dan C. Saya juga seorang yang mengikuti perkembangan Dr. Maza, tulisannya di blog, video ceramahnya di youtube, rancangan tv beliau di 106, pandangannya yang tajam menarik perhatian dan amatan saya. Hujjah beliau berlapik dalil, karisma tegas dan keras malah alang dipantang.

Bagaimanapun saya juga percaya JAIS hanya melakukan tanggungjawabnya atas tekanan semua pihak. Apa yang perlu kita faham di sini ialah JAIS tidak menahan Dr. Maza kerana pandangan beliau yang kritis dan keras itu tetapi kerana tanggungjawabnya berkaitan maslahah ummah. Saya kira sahabat saya Ustaz Abdullah Jalil (USIM) adalah antara sahabat saya yang paling paling saya dekati berkenaan isu ini. Saya banyak merujuk beliau dalam hal seperti ini sejak dulu lagi. Bagaimanapun saya juga baca dan amati betul-betul pandangan Dr. Maza.

Ramai berkata, menyokong dan menuduh. Tetapi penjelasan itu sukar jika kita hanya menilai lapisan pertama apa yang berlaku. Ini mengingatkan kita tentang pertentangan Kaum Muda dan Kaum Tua satu masa dahulu. Ini juga mengingatkan saya tentang persoalan salafi dan sufi. Ia berkaitan tentang persoalan rumit seperti pendapat kafirnya Imam Ibn Taimiyyah, Ibn Hajar. Jika ilmu kita sedangkal jengkal, hadis yang kita hafaz dan amal tidak seberapa, tafsir Quran apatah lagi, janganlah mudah meletakkan hukum ini salah dan ini betul.

Mari kita berdoa Islam terus gagah dan dipelihara oleh mereka yang soleh dan alim. Ya Allah peliharalah kami dari pecah belah dan perbuatan khianat kepada agama. Tinggallah saya sebagai orang yang sangat keliru. Allahu Akbar!

Monday, October 26, 2009

0

Sempurna Ialah Menerima Ketidaksempurnaan

Saya cuba menulis juga walaupun ringkas dan pendek. Masa amat emas. Bermula...

Ajar Saya Kaedah Terbaik, Boleh?...
Ramai bertanya kepada saya, bagaimana hendak buat 'deal' terbaik dalam perniagaan, bagaimana hendak pastikan perniagaan stabil dan kukuh, bagaimana hendak melabur yang tidak rugi, bagaimana hendak pastikan komunikasi antara rakan kongsi sentiasa baik, bagaimana hendak pantas dan banyak lagi.

Itulah kita manusia. Tak puas dan hanya mahukan yang terbaik.

Pengukir
Saya buat satu analogi. Kisah seorang pakar pengukir arca. Sebagai seorang pakar, arcanya amat halus, mempunyai nilai seni yang amat tinggi, harganya juga amat lumayan. Persoalannya ialah berapa lamakah seseorang itu mendapat gelaran pakar. Yang pastinya BUKAN sehari atau sebulan. Setuju?

Seseorang yang berbakat juga membuat kesilapan. Mungkin pakar ukir itu kali pertamanya mematahkan kayu yang diukirnya. Mungkin teknik memegang pisaunya juga hancur. Mungkin subjek ukirannya songsang. Tapi apa si Pengukir buat, dia tetap mengukir!

Realiti Kesempurnaan
'Deal' yang baik dalam perniagaan datang mungkin selepas dua atau tiga 'deal' yang tidak baik. Perniagaan yang stabil hanya mungkin datang selepas empat atau lima kali kegagalan dan kerugian. Pelaburan yang baik dan menguntungkan hanya datang selepas enam atau tujuh pelaburan yang merugikan dan menyakitkan. Komunikasi yang baik antara rakan kongsi hanya mungkin didapati setelah mencuba bekerjasama dengan sembilan hingga sepuluh orang yang berbeza karektor.

Kenali Pakar
Pakar = Kaya pengalaman. Hakikatnya ramai yang 'nampak' pakar, 'bunyi' pakar, 'kelihatan' pakar. Saya ada satu tips bagaimana menilai kepakaran seseorang. Itulah dia kerendahan dan keazaman diri. Hanya pakar yang akan merendah diri, matanya ada cahaya keazaman.

Yang Syumul Itu Allah
Jadi, jangan takut mencuba. Kegagalan itu biasa. Kesilapan itu lumrah. Tangisan itu biasa. Letih itu normal. Terimalah hakikat yang hanya ALLAH sahaja maha sempurna. Kesempurnaan itu hanyalah milikNya abadi. Kita insan yang banyak kekurangan dan kesilapan.

Move on!
Bergeraklah kerana dunia bergerak bersama kamu. Sebaliknya jika kamu berhenti dunia juga berhenti bersama kamu. Terimalah ketidaksempurnaan untuk sempurna!

Mahu jadi cara yang terbaik? Buatlah banyak kali, berulang kali, kamu akan jumpa cara yang terbaik, gaya kamu!

Friday, October 16, 2009

0

Mulakan Langkahmu

Sepanjang minggu ini saya seringkali mengulang-ulang dua pesanan ini. Terutama kepada diri sendiri. Saudaraku, langkah pertamamu tidak semestinya cantik tersusun dan sempurna walaupun ramai yang mahukan begitu. Sangkaan layanan karpet merah, santapan VVIP sesekali tidak akan diterima bagi mereka yang mahu BERUBAH. BERUBAH (hijrah) adalah tuntutan dan memulakannya adalah mujahadah (perjuangan).

Mulakan langkahmu dengan :

1. Percayakan Diri Mu
Ya, itulah prasyarat hijrah. Jeritkannya dan getarkan hati mu, katakan AKU BOLEH LAKUKANNYA! Inilah juga prasyarat hukum 'law of atrraction'. Kamu tak wajib percaya apa kata orang kerana itu juga adalah pendapat mereka. Kamu tidak boleh menutup mulut semua orang yang tidak percayakan kamu.

Hanya kamu mampu percayakan diri mu! Bila kamu percaya dengan kukuh, langkahmu kental, doamu teguh, semangatmu jitu dan rahmat Nya hampir.

2. Berguru
Mereka yang mahu berubah perlukan guru. Carilah idolamu, mentormu, pengasuhmu kerana kamu perlukannya. Berubah dengan hanya membaca boleh gila. Berubah melulu pula tidak akan konsisten. Ibarat pasukan bola yang dahagakan kemenangan, ia perlu dibimbing oleh jurulatih yang juga dahagakan kemenangan juga. Oleh kerana itu bergurulah seribu.

Datang kepadanya dan selalu berdamping dengannya. Impian kamu akan lebih cepat digenggam. Ibarat berkawan dengan penjual wangian; sekurang-kurangnya tangan kamu akan lebih wangi dari orang lain dek kerana selalu bersalaman dengannya.

Hentikanlah sangkaan yang kamu boleh berjaya seorang diri. Lupakanlah sangkaan yang kamu boleh buat segalanya. Jangan syok sendiri!

Laungkannya setiap hari! Kalau kamu boleh, pasti aku juga boleh! Mulakan langkahmu dengan gagah! Hari ini!

Thursday, October 1, 2009

0

Dah Beritahu..

Doa dan harapan menggunung tinggi dipanjatkan. Gambar kenangan akhir ramadhan tahun ini di Seremban dengan sahabat-sahabat yang disayangi. Ya Allah hindarilah hati ini dari keluh kesah, risau dan takut. Kami berusaha dan bertawakkal dengan Mu Ya Allah.

Selesai pulang dari solat subuh pagi ini, seperti kelaziman memulakan bacaan al-Quran bersama terjemahannya. Sampailah ia menemukan saya petunjuk seolah-olah membenarkan kuasa tarikan al-Quran. Sebaik sahaja saya membaca ayat ini saya terdiam dan berfikir deras.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (2:155)

Allah dah beritahu kamu akan takut! Allah minta kamu bersabar! Allah minta kamu bersedia! Terima kasih Allah kerana memberitahu. Allahu akbar!

Nota : Didoakan kesihatan buat sahabat saya Ahmad Fadzli Fauzi yang telah dimasukkan ke bilik bedah semalam. Moga semuanya dipelihara rahman dan rahim Nya.

Wednesday, September 30, 2009

0

Salam Lebaran - Melebar Harapan

Setiap tutur kata yang tersilap, tingkah laku yang sumbang, niat yang menyimpang, sangkaan yang silap, janji yang tak tertunai dan hutang yang tertangguh saya bagi pihak keluarga saya Hakimi dan Ibu.Azlina ingin memohon jutaan kemaafan dan mengucapkan salam lebaran buat semua ahli keluarga, sahabat handai, kawan-kawan dan seluruh umat Islam.

Tema raya saya tahun ini ialah Aidilfitri: Mengerat Silaturrahim, Menerima Kelemahan, Berlapang Dada, Melebar Harapan dan Menyampai Kasih dan Sayang.

Kepada anakanda sulung kami Afif.Hakimi selamat hari lahir kedua sayangku. Besarlah kamu dengan iman, harapan dan kasih sayang. 17/9.

0

Konsistensi

Saya suka kereta saya! Muatkah muatan seperti itu di 320i, 325i, 520i, 525i, c200, c230, s40, s60, A4, A6.. Lu, fikirlah sendiri, hihi. Hakimi baru sampai KL setelah seminggu beraya di kampung.

Berpuasa sebulan, sebulan jugalah berpuasa dari update blog ni. Maaflah, jika ada yang singgah tapi masih sama juga apa yang ada. Saya mulakan edisi syawal ini dengan posting yang ringan. Ingin saya kongsikan apa yang saya bualkan semalam bersama seorang sahabat di Bangi.Kopitiam.

Masalah Besar
Konsistensi adalah masalah besar terutama kepada usahawan-usahawan baru. Terlalu cepat naik, terlalu cepat jugalah turun. Awal-awal prestasi motivasi sangat tinggi, sampai satu tahap motivasi terlalu rendah. Saya kongsikan dengan beliau, yang mustahil untuk seseorang manusia tidak dipengaruhi oleh emosi. Kadangkala kita penat, sedih, marah, bosan dan tak kurang juga suka, ceria dan gembira.

Untuk usahawan baru, saya cadangkan 3 tips yang saya gunakan untuk kekalkan konsistensi.

1. Kuatkan motif kamu
2. Plan, plan, plan
3. Selalu bersama orang berjaya, positif dan berhasil.

Kuatkan Motif Kamu
Motif menyebabkan manusia hidup. Motif = niat = matlamat = visi. Saya suka menggunakan perkataan motif kerana lebih konkrit. Jika ditanya, mengapa kita masih lagi bekerja keras, buat OT, part time, tukar-tukar kerja sebabnya motif. Sedar tak sedar, motif kita ialah untuk hidup, bayar rumah, kereta, pinjaman itu ini dan lain-lain. Motif menyebabkan jatuhnya hukuman qisas, sebab hanya dengan motif yang kuat membuatkan seseorang itu sampai membunuh dan mencederakan. Kuatkan motif kamu! Kamu yang tahu apa motif kamu! Motif jangka masa pendek, motif jangka masa panjang,

Plan, Plan, Plan
Yang dirancang pun tak jadi, inikan pula yang tak dirancang. TULIS, TULIS, TULIS perancangan kamu. Harian, mingguan dan bulanan. Tak tulis bukan perancangan namanya, itu angan-angan! Kadangkala kita rasa penat, so berhenti berehat, esoknya laksanakan perancangan seterusnya. Dalam Islam sendiri, perancangan amat dititik beratkan.

Selalu Bersama Orang Berjaya, Positif & Berhasil
Ramai orang kata, banyak kali juga saya kata perkara ini. Semakin jauh kita dari sumber motivasi lagi sukar perjuangan kita memenangi 'peperangan diri' (inner game). Banyakkan bertanya, walaupun macam sudah tahu, lagi banyak kita tahu, semakin banyak kekurangan diri kita akan sedar. Orang berjaya ada aura motivasi. Orang berhasil ada keyakinan. Pinjam kekuatan itu. Telefon, sms, FB dan lain-lain. Lagi baik dapat minum-minum 10-15 min. Cubalah! Cari mentor kamu! Jangan syok sendiri!

Perlahan-lahan kamu akan perasan, biarpun dengan motivasi turun naik, emosi pasang surut, hasil baik tidak, usaha kamu akan konsisten.

Biar melangkah selangkah, usah berhenti!!

Friday, August 21, 2009

0

Salam Ramadhan Kareem


Banyak yang nak di'blog'kan. Masa tidak mengizinkan. InsyaAllah ada masa kesempatan saya akan kongsi beberapa perkara untuk manfaat kita bersama.

Saya mohon maaf kepada semua sahabat taulan, sanak saudara samada kenal ataupun tidak menuju ramadhan yang sangat dirindui ini. Orang yang banyak cakap macam saya pastinya banyak salah dan silap, maafkan saya.

Apa azam kamu untuk ramadhan kali ini? Lebih bersedeqah? Tak tinggal tahajjud? Tadarus al-Quran bersama terjemahan? Berjimat? Itulah azam saya. Kamu bagaimana? Moga umurku panjang, tubuhku sihat untuk bersama-sama menyambut bulan rahmat ini.

Tahniah semua! Kullu am wa antum bihair! Allah berkati kamu!

Friday, August 7, 2009

0

Harga Senyuman & Harapan

Rancangan realiti tv hari ini memang banyak sampah. Bagaimanapun kali ini saya tersentuh dengan kebolehan kita untuk MENYENTUH kehidupan seseorang, memberinya SENYUMAN dan sekalung HARAPAN.

Idea Mudah & Murah
Saya biasa menonton Oprah di saluran 702 Hallmark. Walaupun tidaklah setiap pagi, tapi agak kerap. Di mata saya Oprah ialah salah seorang 'public figure speaker' mentor saya. Beliau tidaklah sebegitu hebat gaya dan karisma pengucapannya, tetapi program tv beliau amat-amat berkesan! Salah satu yang paling saya ingati ialah slot Big Give. Saya menonton dengan air mata yang sangat murah setiap kali slot itu mengambil tempat. Dengan kejayaan slot itu, akhirnya satu rancangan realiti bertajuk Oprah Big Give mula disiarkan di seluruh US. Rancangan realiti ini ditonton oleh 15 juta rakyat US dan mendapat rating setinggi 9.4! Ideanya mudah, MEMBERI untuk bahagia!

Perlumbaan Kebajikan
Saya ulang dan ulang dan ulang dalam kebanyakan latihan saya, memang penting untuk berjaya. Tetapi sama pentingnya ialah untuk mendapatkan kebahagiaan. 'Hidup ini perlumbaan' kata saya dalam tausiyah ringkas di Shah Alam semalam. Rujuk al-Baqarah 2:148.

Ironinya ramai yang mengambil tidak kisah, ini bukan urusan aku. Malah ada juga yang lebih selesa berlumba-lumba menyakitkan hati sahabatnya, meracun harapan dan impian orang lain, menjadi juara gosip dan umpat. Kenyang dengan sakit hati orang lain!

Menyusah VS Jariah
Berlumba-lumbalah kamu membuat kebajikan! Jikalau kamu boleh sentuh kehidupan seseorang untuk membangunkan keluarganya itu jariah. Jika kamu dapat memberi senyuman kepada anak yatim yang tidak mampu itu jariah. Jika kamu dapat memberi makan orang-orang tertindas dan lemah itu jariah. Berhenti menyusahkan orang lain, mulakan jariah!

Tips saya, jadikan urusan jariah TANGGUNGJAWAB yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan! Make yoursef aware that helping others is our DUTY of life!

Jom ke syurga!

Wednesday, July 22, 2009

0

Beza Mahu dan SANGAT Mahu

Apa kata kita letak di sekeliling kita perkataan-perkataan seperti ini. Setiap hari kita lihat dan baca. Lebih baik dari mendengar dan melihat kejahatan, dengki dan khianat, bukan? Hidup ini, hidup kamu. Kamu tentukan tujuannya! Apa kata kita tambah lagi dengan potongan ayat al-Quran dan terjemahannya. PASTI HEBAT!!

Pernahkah kamu sangat mahukan sesuatu? Apa yang kamu buat? Tak kira apa berlaku, mesti kamu usaha untuk dapatkannya juga bukan? Kita biasa dengar penagih dadah akan buat apa sahaja untuk dapatkan bekalan dadah walaupun membunuh ibu sendiri bukan? Kita juga biasa dengar rekod-rekod pelik yang baru atau baru dipecahkan seperti paling jauh meludah dan lain-lain lagi. Kita juga biasa mendengar ada orang yang sanggup menghabiskan ribuan duit untuk solek kereta kesayangannya.

Dapatkah kamu satu kesimpulan? Ya, pada SANGAT mahu ada TENAGA LUARBIASA.

SANGAT & TENAGA
Apa kata saya cadangkan perkataan SANGAT mahu itu kita sematkan di hati dan minda kita buat selama-lamanya. Tetapi untuk keuntungan kita, kebahagiaan keluarga kita, kebajikan insan di sekeliling kita dan kemakmuran negara kita. Oleh itu kita pindahkan TENAGA LUARBIASA itu ke biz yang kita ceburi, pekerjaan yang kita sukai, hobi yang munasabah ataupun pelajaran yang sedang kita pelajari.

TENAGA LUARBIASA itu akan memacu minda kamu, mengerah tenaga kamu! Percayalah! Percaya pada diri mu yang SANGAT mahu itu.

Saya cuma SANGAT mahu berjaya! Saya tahu itu.

Tuesday, July 21, 2009

0

Betul, kamu perlukannya..

Baru 3 hari, 2 malam Ibu Azlina bermesyuarat di luar, rumah sudah jadi tongkang karam. Terima kasih Ibu Azlina kerana menjadi isteri dan ibu yang terbaik. Saya perlukannya!

Bulan ini saya menerima paling banyak undangan ceramah. Ahad lepas saya terpaksa juga menolak salah satunya. Bulan Isra' Mi'raj, persediaan menemui ramadhan yang sangat dirindui. Antara isi kandungan perkongsian saya ingin saya kongsikan dalam ruangan ini pula.

Isra' Mi'raj Sumber Motivasi
Tidak perlu saya perincikan setiap inci pergerakan junjungan baginda dalam peristiwa yang sangat bersejarah itu. Menguji iman sesiapa juga ketika itu dan juga kini. Plotnya berlaku seawal tahun ke lapan selepas (tidak disepakati) turunnya wahyu pertama. Nabi diuji dengan pelbagai tekanan.

Stress
Bermula dengan dakwahnya yang dipandang dingin dan sinis, keluarganya dipulau, kematian isterinya tulang belakang kekuatan emosi dan materi, kematian bapa saudaranya Abu Talib sumber pertahanan baginda di medan pemuka siasah Mekah dan kecederaan fizikal semasa berdakwah ke tanah subur Tho'if, rasulullah SAW amat jelas dalam keadaan tekanan. Sedikit sebanyak ada juga kesan kepada baginda sehingga turunnya ingatan Allah menerusi surah Hud yang mengubankan baginda.

Sebagai insan pilihan, rasulullah SAW dibawa 'berjalan'. Diperlihatkan kekuasaan Allah. Dibenarkan semua janjiNya kemudian hari. Yang paling penting dan paling bersejarah nabi SAW dianugerahkan perintah solat secara terus dari Allah.

Berdasarkan peristiwa Isra' ini ada inzar untuk kita. Untuk LEBIH berjaya kita perlukannya, amat perlukannya. Apa dia?

PERTAMA: Sokongan padu dari insan rapat di sekeliling kita. Terutamanya isteri, keluarga, sahabat dan persekitaran. Kita insan biasa. Kita memerlukan kata-kata, senyuman, harapan, doa dari mereka. Wujudkan sistem sokongan (support system) kamu sendiri supaya kamu bisa memacu keyakinan dan kekuatan! Ketepikan jauh-jauh unsur negatif yang membunuh harapan dan doa mereka.

KEDUA: Sabar dan solat. Solat adalah mekanisme pemberian dari maha pencipta untuk bantu kita menjalani hidup yang sementara ini dengan LEBIH berjaya. Solat pula sering dipasangkan dengan sabar di dalam al-quran. Kepada yang mahu berfikir, ini adalah petunjuk. Petunjuk yang jelas. Rujuk al-Baqarah 2:45 kamu akan faham. Mintalah dariNya! Dialah pemilik segala kejayaan! Mintalah bersungguh-sungguh. Dengan sabar dan solat.

Sebaik peristiwa Isra' berlaku dakwah nabi semakin mantap. Keyakinan semangat menjulang. Tiga tahun selepas itu, tertegaknya daulah pertama, Madinah yang bercahaya.

Kamu mahu LEBIH berjaya? Wujudkan sistem sokongan, sabar dan solat!

Tuesday, July 14, 2009

0

Saya suka...

Bertadarus, berkongsi ilmu di Masjid UNIT*N, Jumaat lepas.

Berjaya atau lebih berjaya
Kamu mahu lebih berjaya atau lebih berjaya? Mudah, tahu apa yang kamu suka! Buat apa yang kamu suka 110%! Belajar untuk lebih suka apa yang kamu suka! Cari golongan yang sama suka seperti kamu! Cari sahabat yang mendorong kamu untuk buat yang terbaik tentang apa yang kamu suka!

Yang penting tahu apa yang kamu suka!

Kereta
Saya suka kereta. Suka gila! Saya beritahu isteri saya, kalau orang tahu tentang gosip artis, saya lebih hebat kerana saya tahu tentang gosip kereta. Seingat saya sejak saya kenal huruf saya sudah ada koleksi kolaj kereta. Saya suka kereta sport. Saya suka continental. Saya suka Beemer, Benz, Volvo, Volk, Audi, Alfa, Lambo, Porch, Ferrari. Saya suka sushi. Saya suka Honda, Toyota, Mazda malah Mitsuoka! Saya suka American Muscle, Camaro, Challenger, Hummer, Jeep. Saya akan beli majalah kereta, surat khabar kereta, blog kereta, forum kereta dan apa sahaja tentang kereta. Saya cuma suka kereta tetapi tidak pada modifikasinya. Tab bookmark saya jika ada 30 link, 20 darinya adalah tentang kereta. Saya boleh bercakap tentang kereta lebih lama dari bercakap tentang bola. Saya suka Top Gear, saya suka Fifth Gear. Saya suka gila JC, Hammond, James.

Bercakap
Saya suka Aznil, saya suka DMFK, saya suka Ust Zahazan, saya suka Oprah, saya suka Harv. Saya selalu ingin jadi speaker yang hebat seperti mereka. Saya suka memberi inspirasi kepada hidup orang lain. Saya suka membantu orang lain. Saya suka anak yatim. Saya suka berbual dengan pengemis. Saya suka kerja amal. Saya suka beri dan jadi sumber inspirasi. Saya suka berkongsi senyuman. Saya suka kalau orang suka. Saya suka apabila seseorang berubah bila saya cakap kamu boleh berubah! Saya suka buku motivasi. Saya suka beri motivasi.

Mengajar
Saya suka mengajar. Sangat suka! Sangat, sangat suka!

Ada orang kata kamu tidak boleh berjaya dengan buat apa yang kamu suka. Saya rasa 100% tidak! Saya suka kereta, saya suka bercakap, saya suka mengajar dan saya juga boleh lebih berjaya! Saya akan buktikannya!

Sebab saya tahu apa yang saya suka! Kamu bagaimana? Tahu apa yang kamu suka? Itu masalahnya bukan? Mahu berjaya atau lebih berjaya? Jawapannya ada pada kamu!

Monday, July 13, 2009

0

Kalah : RAMAI vs SEDIKIT

Absober dan rim 905 juga kalah dengan masa baru-baru ini.
Baru tahu berharganya perkataan 'cermat' dan 'jimat'.

Kalah
RAMAI yang tidak mahu kalah. Terlalu berusaha berharap untuk menang. Terlalu kecewa kerana tidak menang. RAMAI dan majoriti. Sebaliknya jika difikirkan, mengapa pula adanya penjara, adanya hospital, adanya pusat pemulihan, adanya pusat physioterapi. Bukankah tempat itu untuk mereka yang kalah.

Bolehkah kita bayangkan jika semua apa yang kita mahu, kita dapat? Seram bukan! Tapi kita memang begitu, kalau dah terlalu mahu, tak mahu mengalah. Kalah adalah sepenting menang. Nikmat menang hanya boleh digambarkan dengan mengenang kekalahan.

Begini. Asalnya kita telah menetapkan sesuatu matlamat. Dalam perjalanan ke matlamat, kamu selalunya mengharapkan kemenangan. Takdir Allah kamu menang di beberapa poin, apapun sedang asyik menang, kamu dikejutkan dengan satu kekalahan. Terduduk juga dibuatnya. RAMAI dari kita mula marah-marah, menangis, (hampir) putus asa, kesal, menyalahkan sana dan sini dek kerana kekalahan itu tadi. SEDIKIT pula yang mahu kekal positif, (paksa) optimis dan redha.

Ironinya, orang yang biasa itu RAMAI, manakala orang luar biasa itu SEDIKIT.

'Dialah yang menjadikan mati dan hidup untuk MENGUJI kamu, manakah di antara kamu siapakah yang paling baik amalannya'. - al-Mulk 67:2.

Kalah penting untuk mengukur diri. Kadangkala kita perlu kalah untuk menang. Beritahu diri, 'Saya pilih untuk diuji dengan kalah supaya saya lebih menang!'. Paling penting, apabila sudah kalah, pastikan muhasabah diri. Tidak salah untuk salah. Pilihlah untuk bersama-sama yang SEDIKIT dari yang RAMAI.

Saya tujukan posting ini untuk sahabat saya Nina. Kamu memang hebat!

Wednesday, June 24, 2009

2

Perkataan Paling Bahaya (II)

Mahaguru juga adalah rakan terbaik.
Saya cuma perlu berguru dengan minda yang betul.

Saya cuba untuk memberi kisah kepada pendapat saya pada bahagian I sebelum ini.

Longkang dan anjing
Sebagai contoh yang mudah, dalam situasi biasa; sebuah (atau sebatang) longkang besar akan kelihatan besar dan mustahil untuk dilepasi dengan satu langkah. Betul? Siapa yang beritahu hal itu? Ya, minda. Minda bersuara, untuk melindungi tuannya. Bagaimana minda bersuara? KALAU aku jatuh macam mana? KALAU aku patah kaki macam mana? KALAU aku tersembam? Kalau terjatuh pasti busuk? Sebutkan apa sahaja, ada 1001 kalau lagi jika mahu disenaraikan.

Tapi apabila dalam situasi luarbiasa seperti dikejar anjing ataupun dikejar perompak kejam, longkang itu tidak kelihatan seperti itu. Adrenalin mengatasi minda. Juga alasannya sama, untuk keselamatan. Tetapi kita sudah tidak fikirkan perkataan KALAU. Mengapa? Minda (KALAU) hanya akan melemahkan kepantasan, peluang, keberanian dan ketegasan.

Makanan orang hebat
Orang yang hebat bukan kerana dia makan pil hebat setiap hari. Tetapi dia lebih besar dan tumbuh subur setiap hari. Lebih besar dari masalahnya. Mindanya disuburi dengan baja ilmu yang bermanfaat, berkawan dengan rakan-rakan yang positif, melihat dan mendengar mutiara kata, diuji dengan 1001 cabaran dengan tenang. Percayalah dengan memperbetulkan minda kamu, kamu bukan sahaja boleh hebat, tetapi merangsang insan disekeliling kita menjadi hebat juga. Isteri kamu, anak kamu, keluarga kamu dan rakan kamu.

Ada satu perkataan yang paling bahaya yang akan saya kongsikan di ruangan yang lain, insyaAllah.

Berhenti berkata KALAU mulai hari ini. Cukup, cukuplah. Act in spite of fear, period!

Selamat datang ke Pesta Bulan Ibadah!

Monday, June 22, 2009

0

Perkataan Paling Bahaya (I)

Mana-mana pun adalah ofis saya. Kali ni dengan aircon, astro, wifi percuma. ;)

Kali ni, sementara 905 menikmati layanan spa, saya di lounge menunggu memulakan hari dengan penuh semangat. Ternyata Jun 2009 adalah bulan yang sangat sibuk (setakat ini). Tambahan dengan dua hari demam tempoh hari, jumlah hari sudah berkurangan kepada 28 hari untuk Jun kali ini.

Saya mulakan topik [kualiti] minggu ini dengan bertanya, tahukah kamu apakah perkataan paling bahaya di dunia? Jawapannya ialah IF aka KALAU aka IZAN.

Diperkuatkan dengan sabda junjungan yang dapat saya fahami sebagai 'Janganlah kamu berkalau-kalau, sesungguhnya ia adalah dari syaitan' (matan sebenar masih saya cari). Malah dari puluhan buku-buku inspirasi yang saya baca, semuanya menyatakan perkataan yang sama. Ulang suara jika tidak jelas, KALAU.

Tapi mengapa?
KALAU adalah perkataan yang keluar dari minda apabila kita berhadapan dengan ketidakbiasaan, ketidakselesaan, kekeliruan dan kepincangan. Manusia dan masalah memang tidak dapat dipisahkan dan tugas minda ialah untuk melindungi tuannya. Dari itu, minda secara automatik akan mengeluarkan perkataan KALAU dengan harapan tuannya akan selamat. Secara logiknya, manusia dan KALAU adalah automatik.

Jadi, bagaimana?
Maka ia berbalik kepada kuasa minda. Bagaimana minda boleh memberi isyarat automatik untuk tidak mengeluarkan perkataan KALAU. Bermakna tugas kita ialah membetulkan minda kita supaya secara automatik untuk tidak menganggap ujian sebagai masalah. Ujian adalah proses. Ujian adalah peluang. Ujian adalah kekuatan.

Apa patut saya buat?
Betulkan minda. Paksa lidah untuk tidak mengeluarkan perkataan KALAU. Apa kata untuk hari ini kita mulakan hari tanpa perkataan KALAU. Sehingga malam nanti lihat sahaja bagaimana ia boleh merubah masa depan kita!!

Tuesday, June 16, 2009

0

Kekuatan dan Kelemahan : Minda

Tag yang perlu dikenakan selama 3 hari, 3 malam. Lihat genggaman itu!

Sebahagian daripada bahan pembelajaran.

See how's professional do it. They charge you RM128,715 (discounted to RM19,995) for helping you out! Responsibility pays!

Sistem Jars yang terus dipraktikan dan selamanya. Kelihatan beberapa not RM1 dan syiling di Tabungan FFA. Visual is memorable, measureable.

Saya akan berkongsi beberapa mutiara ilmu yang saya perolehi dengan menghadiri seminar yang sangat hebat ini. Beberapa gambar semasa seminar akan saya kongsi selepas ini walaupun ianya tidak sebaik kualiti D40 seperti di atas.

Betullah kata Harv, Clarity is Freedom.

Monday, June 1, 2009

0

Pasti Ada

Pasti akan ada insan yang memerlukan kamu! Saya sibuk mengurus program ini dan beberapa urusan lain sehingga tak dapat menjenguk blog ini. Tq sahabat-sahabat! Klik gD.org untuk gambar-gambar lain.

Thursday, May 14, 2009

0

Mahu Pertolongan & Pelindung?

Era pasca keruntuhan kapitalis dan bangkitnya faham agama dan kesedaran nilai menyebabkan topik ini lebih mudah dikongsikan. Kadangkala kita rasa susah untuk membuat keputusan. Sukar untuk memahami jalan yang kita pilih. Kita berasa keseorangan yang amat sangat. Kita rasa terdedah kepada bahaya dan ketidak tentuan. Rasa doa sukar sampai ke hajatnya. Pendek kata jauhnya capaian rahmat dan rahim yang kuasa.

Enggan
Tipsnya mudah. Adakah kita tergolong di kalangan yang enggan beramal soleh. Berat untuk solat. Menyampah mahu bersedeqah. Bersangka baik sesama kita. Membantu dengan seikhlas mungkin. Berkira-kira untuk mencuba sesuatu yang positif. Menipu dalam perniagaan. Tuang kerja dan lalai dengan tanggungjawab. Oh. Sekarang fahamlah.

Sombong
Tipsnya mudah. Adakah kita tergolong di kalangan yang sombong. Bodoh sombong. Jahil dan tak mahu belajar. Bongkak dengan pencapaian. Sempitkan minda dengan tidak mahu berkongsi. Sombong dengan kata-kata tajam. Menghina dan mengherdik. Mencarut tak tentu pasal. Asyik dia yang betul, orang lain semuanya salah. Tak mahu meminta maaf dan memaafkan. Oh, begitu rupanya.

Sudahlah si enggan dan si sombong susah di dunia, bekalnya siksa di kubur dan di jahannam.

Amati dengan mata hati ayat ini diri dan sahabatku :
Adapun orang-orang yang enggan (beramal soleh) dan sombong, Allah akan menyiksa dengan siksaan yang pedih, dan mereka tidak akan memperoleh bagi diri mereka pelindung dan penolong selain dari Allah. - An-Nisa' 4:173.
Janji Allah. Dialah sebaik-baik pelindung dan penolong. Apabila kamu telah berazam, (berusaha dan) bertawakkallah. Majulah ummatku!

p/s - Artikel ini adalah seperti yang saya kirim ke gD.org.

Wednesday, May 13, 2009

0

Syukurlah

Istana
Saya berpeluang untuk sama-sama memeriahkan majlis jamuan semalam. Pengalaman kali pertama menjejakkan kaki ke rumah yang harganya lebih dari 8 angka. Jumlah yang tidak terbayang dengan bayang-bayang sekali pun. Terletak di kawasan premier dengan pemandangan tahap dewa. Ternyata ia satu pengalaman baru. Saya tidak melepaskan peluang untuk naik setiap tingkat, masuk menjengah ke bilik-bilik agam, dapur-dapur yang luas dan menikmati sinaran bulan yang indah dan aman hanya dari ruang tamu yang saujana. Saya tergamam dan membuat satu kesimpulan sebelum tidur malam itu.

Si Lagak vs Si Tunduk
Di luar sana, ada orang kaya yang berlagak, tapi tidak sehina orang 'miskin' yang berlagak. Ada rakan-rakan saya yang 'biasa-biasa' tetapi lagaknya mengalahkan jutawan minyak. Pakainya hebat bak coach, gucci dan LV. Set karaoke rumahnya mengegarkan. Lagak cakapnya bak Qarun. Gaya hidupnya se-eksklusif Balqis. Tapi sebenarnya apa yang 'si lagak' ada hanyalah sekelumit dari 'si tunduk' yang merendah diri ke bumi. Pakainya sederhana. Disiplinnya ketat. Masanya emas. Biarpun saiz dapur 'nya' 3 kali ganda besar dari seluruh rumah 'si lagak' dia tetap senyum bersedeqah, tunduk ke bumi, ringan tulang membantu dan doa mendoakan.

Pengalaman semalam menebalkan lagi impian saya. Menjadi si tunduk kaya yang bertakwa.

Kesimpulan
Sebabnya satu. Jika kamu rasa kamu hebat, Allah telah jadikan orang yang lebih hebat dari kamu. Jika kamu susah, Allah telah jadikan ada yang lebih susah dari kamu.

Saya kongsikan sepotong ayat dari Surah Yusuf 12:91 yang saya baca pagi tadi seusai subuh. Perihal kata-kata saudara Yusuf a.s.
Mereka berkata: Demi Allah, sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu ke atas kami, dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah.
Tolonglah bersyukur apa yang kamu ada. Kamu hebat bila kamu bersyukur! Siapa kamu tidak penting. Tetapi bagaimana kamu berfikir lebih penting.